ARKIB

YPU Lahir 228 Usahawan Muda

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU)  berjaya melahirkan  228 usahawan muda menerusi program membudayakan keusahawan di kalangan generasi baru sejak 2010. Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee daud, berkata jumlah itu dihasilkan dari program utama YPU iaitu Kursus Asas Keusahawanan selama empat hari bagi emmbentuk rancangan perniagaan.
Selain program kursus itu, beliau berkata YPU juga menyediakan program Gerak Usahawan di kalangan pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi awam serta taklimat  Sahabat Usahawan Terengganu (SUT). “Program gerak usahawan merupakan program sehari taklimat keusahawanan yang berjaya, dianjurkan dengan kerjasama KFC. Program ini telah digantikan dengan program Taklimat SUT sejak tahun lalu.
“Program taklimat SUT berkaitan peluang usahawan dan bantuan keusahawanan yang mula dilaksanakan sejak 2012 bagi memberi pendedahan terhadap maklumat keusahawanan,” katanya. Roslee berkata, seramai 3,942 peserta terlibat dengan sembilan siri program gerak usahawan sepanjang  2010 hingga 2012.
Sementara, kursus asas keusahawanan membabitkan  5,484 peserta daripada 29 siri kursus sepanjang lima tahun bermula 2010. Taklimat SUT pula melibatkan 4,518 orang peserta daripada 38 siri kursus yang diadakan sepanjang tempoh tiga tahun sehingga 2014.
sumber : http://teganukita.my/
************************************************** 
YPU Bimbing Graduan Ceburi Bidang Perniagaan


Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bakal membimbing siswazah menganggur di negeri ini di bawah program Usahawan Graduan Terengganu mulai tahun depan . Melalui program yang diperuntukan RM500,000 setahun itu, peserta boleh memilih mana-mana perniagaan berprestasi tinggi yang diminati, sama ada berkaitan asas tani, kejuruteraan, katering dan pembuatan.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Wan Mohd Rubi Wan Jusoh, berkata buat permulaan pihaknya akan melatih 30 graduan yang benar-benar layak dan berminat menyertai program dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA). Katanya, mereka yang terpilih itu adalah sebahagian 250 graduan yang memohon melalui lawan sesawang yang dibuka pada Jun lalu..

“Setiap peseta akan ditempatkan di syarikat milik usahawan terkenal di negeri ini selama setahun dan dibayar elaun RM1,000 sebulan bagi mempelajari & mengetahui selok-belok perniagaan. “Sekiranya menampakkan kesungguhan dan potensi untuk berjaya dalam tempoh yang ditetapkan itu, peserta akan dibantu mendapatkan pinjaman untuk membuka perniagaan yang diminati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Pembangunan Usahawan Wanita, di Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu, hari ini. Majlis yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi, Roslee Daud itu dihadiri hampir 500 peserta wanita.

Wan Mohd Rubi berkata, pihaknya yakin usaha itu mampu mencapai matlamat, kerana berdasarkan temuduga dan proses pemilihan, setiap peserta mempunyai minat mendalam dan berpotensi untuk maju. “Kita akan meneruskan program sama pada tahun seterusnya, sebagai usaha melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan graduan,” katanya.

sumber : http://teganukita.my/
***********************************
Sedia RM500 Ribu Untuk Siswazah Berniaga

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM500,000 sebagai bayaran elaun dan membantu siswazah menganggur menceburi bidang Industri Kecil & Sederhana (IKS).

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata sumbangan itu akan disalurkan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) yang bakal memperkenalkan program `Terengganu Graduate Attachment Scheme’ ( T-GAS).

Katanya, proses penapisan dan temuduga akan dilaksanakan kepada pemohon untuk memilih mereka yang benar-benar berkelayakan dan berminat. “Peruntukan yang disalurkan itu hanya sebagai bayaran elaun, tidak termasuk modal perniagaan. Kita terlebih dahulu perlu melihat perniagaan apa yang ingin diceburi sebelum meluluskan kos dalam aspek lain. 

Dato’ Ahmad Razif mengagihkan geran perniagaan kepada usahawan terpilih “Bayaran elaun kepada siswazah yang bakal mengurus dan merancang perniagaan mungkin berjumlah RM1,000 dan dibayar bagi tempoh setahun,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini. 

Hadir sama isteri Menteri Besar, To’ Puan Halina Zakaria; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, YB Roslee Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif YPUT, Wan Mohd Rubi Wan Jusoh.

Dato’ Ahmad Razif turut memberitahu, sebagai contoh, jika terdapat sekumpulan siswazah mahu menceburi bidang pengiklanan, kerajaan akan membantu mengenalpasti dan menyediakan keperluan modal perniagaan itu.

“Apabila berjaya menonjolkan kejayaan membanggakan dan mencapai sasaran jualan yang ditetapkan, YPU akan memberi kepercayaan penuh kepada kepada siswazah berkenaan untuk mengendali sendiri perniagaan, selain menawarkan modal dalam jumlah tertentu,” katanya.

sumber : http://teganukita.my/24 Jun 2014
***********************************
YPU Sasar 50 Usahawan Berprestasi Tinggi

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mensasarkan 50 usahawan yang mampu diiktiraf sebagai berprestasi tinggi sepanjang tahun ini, berdasarkan nilaian produk dan berpendapatan tahunan yang diperoleh. Pengerusi Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, YB. Roslee Daud berkata, pengiktirafan itu dinilai mengikut penarafan bintang, selain memperoleh pendapatan tahunan sekurang-kurangnya RM2 juta setahun.

Katanya, berdasarkan rekod tahun lalu , pihaknya mengiktiraf seramai 35 usahawan yang berjaya memenuhi syarat tertentu. “Mereka ini sentiasa dipantau melalui program Jejak Usahawan Terengganu, bagi mencungkil idea-idea baru selain mengetahui bagaimana mereka boleh berjaya.

“Usaha itu penting bagi kami untuk berkongsi idea, mengetahui perihal perniagaan, sebelum dapat dikongsi kepada usahawan lain, terutama bagi mereka yang baru belajar berniaga. “Di Terengganu terdapat kira-kira 8,000 usahawan di bawah bimbingan YPU, mereka ini turut dibimbing dan diberi kursus tertentu agar dapat bersaing dengan peniaga yang telah berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan kerja Jejak Usahawan ke kilang syarikat Desa Murni Batek di Pulau Rusa, Kuala Terengganu, semalam. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Che Razali Adis.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Desa Murni Batek, Suhaimi Embong berkata, pihaknya ada menawarkan kelas tambahan, agihan buku rujukan dan motivasi percuma kepada kira-kira 200 pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa (SKPR) pada setiap tahun.

“Program amal yang dimulakan lima tahun lalu, kini menampakkan hasil membanggakan apabila SKPR berjaya menduduki tangga ke tujuh bagi peringkat daerah dalam Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013,” katanya.

Desa Murni juga melabur sebanyak RM650,000 bagi menaja pasukan Terengganu, Kelantan serta sebuah lagi pasukan kelab T-Team sebagai sokongan demi memajukan industri bola sepak tanah air.

***********************************
YPU Bentuk Jaringan Usahawan
09.01.2014 Yayasan  Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu menubuhkan Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu sebagai platform penyelarasan program keusahawan antara jabatan dan agensi kerajaan dengan golongan usahawan.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Razali Adis berkata, penubuhan majlis ini bagi mengoptimumkan penggunaan sumber kerajaan dalam melaksanakan pelbagai program dan pendekatan untuk meningkatkan kemajuan mereka dan membudayakan bidang keusahawanan.

Katanya, sebanyak 18 ahli yang mewakili pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dilantik menganggotai majlis yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud.

Razali berkata, majlis yang akan bersidang empat kali setahun itu akan turut mengenal pasti inisiatif baru yang berimpak tinggi untuk diperkenalkan kepada usahawan di negeri ini. “Selain itu majlis akan menjadi permudah cara bagi pelaksanaan program serta aktiviti ke arah memperhebatkan keusahawan ke peringkat global,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Beliau berkata, sempena penubuhan majlis itu juga satu Bengkel Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi telah diadakan selama dua hari di Kuala Lumpur pada 9 Januari lalu. Katanya, sebanyak 100 usahawan di negeri ini yang mampu menjana jualan lebih RM 500,000 setahun telah dipilih untuk menyertai bengkel tersebut. 

Menurut beliau, usahawan berpotensi daripada pelbagai bidang termasuk kraf, makanan, peruncitan, kejuruteraan, minyak dan gas dihimpunkan bersama agensi pembangunan untuk mewujudkan jaringan niaga yang lebih luas. Razali berkata, sempena dengan program itu akan turut diadakan memorandum persefahaman (MoU) dan penyerahan sijil pelantikan ahli majlis berkenaan di samping turut diadakan Bicara Usahawan.
***********************************

No comments:

Post a Comment