Saturday 15 August 2015

Pejabat YPU Pindah Ke KUT

Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) di Kubang Jela, Manir yang agak sepi bakal menjadi lebih meriah dan aktif dengan perpindahan operasi pejabat Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu ke kompleks itu sebelum akhir tahun ini. 
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Marzuki Endut berkata, pihaknya bersetuju dengan keputusan itu kerana yakin perpindahan operasi ke KUT mampu menghidupkan kompleks itu dengan pelbagai aktiviti keusahawanan di Terengganu. 
“KUT yang menelan belanja keseluruhan sebanyak RM23 juta sudah siap selama dua tahun, namun sayangnya ia masih sepi disebabkan beberapa faktor termasuk akses jalan raya yang masih belum siap dengan sempurna. 

“Namun, itu bukan alasan untuk YPU membiarkan KUT terus sepi tanpa sebarang aktiviti. 
“Jadi, kita harap perpindahan operasi pejabat ini nanti akan membantu menjayakan lagi pelbagai program untuk usahawan di Terengganu,” katanya di majlis sambutan Aidilfitri YPU, semalam.  
Ketika ini, YPU beroperasi di Pusat Dagangan Terengganu yang terletak di tengah bandar Kuala Terengganu dengan petugas seramai 40 orang. 
Mengulas lanjut, Marzuki berkata beberapa agensi di bawah Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu juga bersetuju membuka kaunter khas di KUT untuk memudahkan penyelarasan bantuan kepada usahawan. 
“Jadi, KUT akan menjadi tumpuan usahawan mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan dana dan bantuan kerajaan, malah KUT yang dilengkapi kemudahan seperti dewan seminar untuk 1,000 orang pada satu-satu masa, perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan Terengganu. 
“Saya percaya masanya akan tiba untuk KUT menjadi mercu tanda kejayaan dalam bidang ekonomi usahawan di Terengganu,” katanya. 
Antara agensi yang terlibat dengan sekretariat itu termasuk SME Corp, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kraftangan Malaysia serta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
sumber : AUTHOR:  30 JULY 2015 10:51 AM

No comments:

Post a Comment